Wednesday, April 7, 2010

Hikmah Kekalahan Dalam Islam


Allah tidak menjadikan segalanya indah, tetapi Dia juga mewujudkan suasana dukacita dan resah. Demikian juga dengan siri perjuangan dalam menegakkan Islam. Ada sesetengah orang membuat tanggapan bahawa oleh kerana Islam itu ialah agama Allah maka Allah pasti akan menolong agamaNya dan mereka tidak perlu mengambil berat soal ini atau tidak perlu berkorban untuknya. Tanggapan ini adalah tanggapan sesat dan terkeluar dari kefahaman Islam sebenar (Petikan Sa’id Hawwa - Jundullah). Apabila Allah menggilirkan kemenangan dengan kekalahan, itu adalah asam garam dan sunnatuLlah yang perlu diterima sebagai mudawalah daripada Allah SWT. Ada beberapa sebab mengapa Allah SWT menjadikan muslimin sebagai pihak yang kalah, antaranya:
1. Proses Penapisan.
Ayat 140 surah Ali ‘Imran menyebut dengan jelas bahawa tujuan utama kekalahan menimpa umat Islam adalah sebagai proses penapisan ‘shibghatullah’. Allah SWT mahu melihat siapakah yang benar-benar beriman dan berjuang. Menurut al-Syahid Syed Qutb dalam Tafsir Fi Zilalil-Quran, ini tidak bererti Allah SWT tidak mengetahui atau mengenali manusia yang beriman, bahkan Allah mengetahui siapakah yang mukmin dan siapa yang munafik kerana Dia mengetahui apa yang ada di dalam hati manusia. “Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada sekarang (bercampur aduk antara mukmin dan munafiq, bahkan Dia tetap menguji kamu) sehingga Dia memisahkan yang buruk (munafiq) dari yang baik (beriman).” [Ali ‘Imran,2 :179] Kekalahan dan kesusahan itu akan menyebabkan orang yang lemah dalam perjuangan, tidak ikhlas dan tidak betul niatnya akan terjun lari dan meninggalkan orang yang menjadi teras perjuangan iaitu orang yang dibakar tidak hangus, diselam tidak lemas dan tidak menjual iman dengan harga yang murah (Petikan ucapan T.G. Abd Hadi - Taklimat 1982). Di dalam Perang Uhud, terbuktilah siapa yang munafiq apabila ada kumpulan yang lari meninggalkan medan perang. Sehubungan dengan ini, Allah swt berfirman dalam ayat 42, surah at-Taubah yang bermaksud: “Dan sekiranya apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad!) itu adalah sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati dan satu perjalanan yang sederhana, nescaya mereka akan mengikutmu. Tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka.[42]”
2. Peluang Untuk Mati Syahid
Kekalahan menatijahkan ramai pejuang yang terkorban dalam perjuangan, atau syahid. Allah SWT mahu satu golongan terbunuh lalu mereka menjadi saksi (syuhada’) terhadap manusia tentang amalan mereka. Ada pendapat (ulama) yang menyatakan bahawa mereka dinamakan syahid (saksi) kerana menyaksikan syurga selain pendapat bahawa syahid itu kerana roh-roh mereka hadir masuk ke syurga, tidak mati di sisi Tuhan sedangkan roh yang lain tidak sampai ke syurga. Menurut al-Imam al-Qurtubi, pendapat yang sahih adalah pendapat yang pertama (saksi hadir di syurga). Syahid adalah pengiktirafan dari Allah SWT ke atas keikhlasan dan kesungguhan pejuang. Kekalahan tidak semestinya menunjukkan kemurkaan Allah kepada pejuang-pejuang Islam, tetapi ia perlu dilihat dari sudut yang positif juga sebagai ruang untuk Islam mendapat gelaran syahid. Demikianlah yang berlaku ke atas mukmin dalam kisah Ashabul Ukhdud, tukang sikat (Masyitah) anak Fir’aun dan Sumaiyah, ibu ‘Ammar bin Yasir.
3. Pembinaan Sifat Sabar.
Adalah menjadi suatu kepastian bahawa setiap orang yang mengaku beriman apatah lagi mengaku sebagai pejuang Islam akan diuji. Ujian itu, selain berfungsi sebagai penapis, ia juga bertujuan membina sifat sabar yang akan memberi kesan pergantungan hamba kepada Tuhannya. Bahkan, Allah menyediakan ganjaran yang besar kepada orang-orang yang sabar. Rasulullah saw pernah bersabda, maksudnya: “Dari Anas bin Malik RA dari Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda: “Besarnya ganjaran adalah bersama besarnya cubaan. Dan sesungguhnya Allah itu, apabila Dia menyukai sesuatu golongan, Dia akan menguji mereka. Sesiapa yang redha, dia mendapat keredhaan, manakala sesiapa yang marah, dia mendapat kemurkaan.” (Riwayat Ibnu Majah)

4. Persediaan Pejuang dan Perjuangan. Proses mudawalah juga adalah sebahagian dari tarbiyah secara langsung dari Allah SWT ke atas hamba-hambaNya. Perjuangan Islam mesti melalui ujian kerana Allah SWT mahu supaya umat Islam ini matang dan masak. Tiada ertinya umat Islam menang kalau mereka jahat seperti musuh Islam dan tiada gunanya jika mereka menang tapi tidak dapat menegakkan syariat dan melaksanakan keadilan Islam. Dalam hubungan ini, Khalifah Umar pernah menulis surat kepada tentera Islam dalam satu peperangan yang lambat beroleh kemenangan: “Sesungguhnya aku bimbang terhadap dosa-dosa kamu lebih dari kebimbanganku terhadap musuh kamu.” Dalam mentafsirkan ayat 38-41, surah al-Hajj, Syed Qutb menyatakan: “Barangkali kemenangan dan pertolongan ditangguhkan kerana pembinaan umat yang beriman itu belum masak semasak-masaknya, belum sempurna sesempurnanya. Keupayaannya belum terhimpun, kelengkapan-kelengkapan belum disusun supaya boleh dinilai setiap kekuatan dan persediaan yang dimiliki. Kalau ia diberi kemenangan dalam keadaan demikian, nescaya ia akan hilang dengan cepat kerana tiada kemampuan untuk mempertahankannya untuk tempoh yang lama.”
5. Istidraj Ke Atas Musuh.
Istidraj bermaksud perkara luar biasa yang menyalahi adat, berlaku pada orang kafir atau jahat menepati dakwaannya untuk menambah kesesatan. Menyentuh realiti istidraj ini, Allah mengingatkan orang beriman supaya tidak menganggap bahawa Dia terlupa atau membiarkan sahaja musuh-musuh Islam bermaharajalela. Sebaliknya, mereka akan merasa azab yang pedih kerana dosa-dosa mereka. Firman Allah dalam yang bermaksud: “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) mengira bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata-mata (mereka) terbelalak.[Surah Ibrahim:42]”

No comments:

Post a Comment